Friday 18 September 2009

Academic Discussion - Report

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,

On Ayien's request, here is the result of the discussion:

Attendance: 60++ (some who came late didn't sign the attendance), including the Deputy Vice Chancellor (Academic & International Affairs) of UTM

The report is in Malay and I'm sorry for not being able to provide a translation of the report. However, the conclusion is that Malay Language should be used as the main language for teaching and learning at the university but English Language should be improved to enhance student learning and to prepare them for their future endeavour, either in their career or further study.

Wassalam.

p/s: the report below could be looked better in .pdf format but I don't know how to upload it here or attach it here.

------------------------------------------------------------------------------------------

Laporan ringkas hasil perbincangan “Diskusi Khas: Implikasi Pemansuhan PPSMI Terhadap P & P di IPTA” pada 9hb September 2009 di Dewan Senat, UTM Skudai.

Diskusi ini dihadiri oleh lebih kurang 60 orang staf akademik, staf sokongan dan pelajar yang berminat tentang isu ini. Turut hadir dalam diskusi ini adalah Yang Berbahagia Prof. Ir. Dr. Mohd. Azraai bin Kassim, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dan Prof. Dr. Mohd Salleh bin Abu, Dekan Fakulti Pendidikan. Diskusi dimulakan tepat pada jam 2.20pm dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis, Prof. Madya Aziz bin Nordin, pensyarah Fakulti Pendidikan dan diikuti oleh ucap utama oleh Prof. Dr. Noor Azlan bin Ahmad Zanzali, Ketua Jabatan Pendidikan Sains & Matematik, Fakulti Pendidikan berkaitan hasil kajian pelaksanaan PPSMI di 160 sekolah di seluruh negara yang dianjurkan oleh Pembina. Menerusi kajian yang menggunakan kaedah tinjauan interaktif, didapati tahap penggunaan Bahasa Inggeris (BI) dalam pengajaran dan pembelajaran (P & P) di sekolah adalah pada tahap yang rendah khususnya di sekolah-sekolah luar bandar (Pembina, 2009). Kini isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik bukan lagi tertumpu kepada pengajaran untuk meningkatkan kemahiran BI tetapi apakah bahasa yang
paling sesuai atau kaedah P & P yang paling efektif untuk menyampaikan ilmu sains, matematik dan teknologi.

Pada jam 3.00pm, Diskusi I yang bertajuk “Pro dan Kon Pemansuhan PPSMI” dimulakan oleh Prof. Madya Dr. Md. Nor bin Bakar, pensyarah Fakulti Pendidikan. Ini diikuti oleh Diskusi II yang bertajuk “Arah Tuju P & P di UTM” pada jam 3.45pm yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohammad Yusof bin Arshad, pensyarah Fakulti Pendidikan. Akhirnya, program ini ditutup dengan Sesi Pergulungan yang ringkas oleh Prof. Dr. Noor Azlan bin Ahmad Zanzali. Berikut merupakan ringkasan daripada perbincangan yang dibahagikan mengikut kategori.

1. Kebanyakan peserta bersetuju bahawa Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) adalah penting untuk pengajaran dan pembelajaran dalam sains, matematik dan teknologi:

Mendaulatkan Bahasa Melayu dan pada masa yang sama Bahasa Inggeris dipentingkan

Prof. Dr. Ahmad Termizi bin Ramli (FS)
BI perlu dikuasai tetapi BM perlu menjadi asas kepada kita dalam mendapatkan ilmu
Prof. Madya Ainullotfi bin Abdul Latif (FKM)
BM penting untuk negara, tetapi BI tidak boleh diabaikan
En. Johari bin Hassan (FP)
Graduan UTM diharap dapat menguasai kedua-dua BM dan BI serta ilmu sains dan teknologi. BM didaulatkan tetapi BI juga dikuasai pelajar.
Prof. Dr. Noor Azlan bin Ahamd Zanzali (FP)

2. Kebanyakan peserta bersetuju dengan penggunaan dwibahasa dalam pengajaran dan
pembelajaran di UTM:

Penggunaan dwibahasa – BM bahasa rasmi, BI digunakan juga dalam P & P bila perlu
Prof. Madya Ainullotfi bin Abdul Latif (FKM)
40:60 BI:BM untuk semua mata pelajaran termasuk pengajian Islam, BM 100% adalah ditolak.
Prof. Dr. Ahmad Termizi bin Ramli (FS)
Mengajar sebahagian dalam BM dan BI
En. Hassan bin Hushin (FP)

3. Tetapi ada yang mencadangkan BI sepenuhnya:


Subjek sains & teknologi 100% dalam BI – IPT ke atas (Tingkatan 3 ke bawah gunakan BM
manakala Tingkatan 4 ke atas mula gunakan BI untuk mata pelajaran sains tulen dan matematik)
Prof. Madya Dr. Seth bin Sulaiman (FP)

4. Ada juga yang berpendapat bahawa P & P mestilah dalam BM:

BM adalah bahasa perpaduan dan termaktub dalam Perlembagaan penggunaannya dalam sistem pendidikan di Malaysia.
En. Kassim bin Thukiman (FPPSM)

5. Jadual 1 menunjukkan sebab-sebab bagi perbezaan pendapat di atas.

Jadual 1: Sebab-sebab bagi perbezaan pendapat tentang penggunaan bahasa dalam P & P di UTM

Bantahan ke atas penggunaan BI sepenuhnya
• Termaktub dalam Perlembagaan penggunaan BM dalam sistem pendidikan Negara (En. Kassim)
• Tujuan pendidikan dan bahasa kebangsaan adalah untuk perpaduan, jadi BM adalah medium untuk mencapai perpaduan (En. Kassim)
• Ahli politik menggunakan BM (En. Kassim)
• Kemasukan pelajar ke IPTA khususnya UTM yang berasaskan S & T akan dikuasai oleh mereka yang mahir BI dan biasanya bukan dari kalangan Melayu – buktinya adalah UTM sebelum 1973 hanya terdapat 10% pelajar Melayu tetapi menjadi 90% pada tahun 1974 apabila dasar bahasa ditukar (En. Kassim & Prof. Termizi)
• Aliran sains tulen akan dikuasai pelajar yang pandai BI manakala aliran sastera akan dipenuhi pelajar Melayu yang lemah BI (Prof. Termizi)
• Wujud ‘simpton malu bertanya’ di kalangan pelajar dalam P & P BI, pelajar tidak faham apa yang diajar dan tidak tahu apa yang hendak ditanya (Ismail, pelajar)
• BM lebih mudah difahami, kenapa perlu ditukar ke BI sedangkan pembelajaran S & T melibatkan otak kiri manakala bahasa otak kanan (Ismail, pelajar)
• Akan wujud jurang yang lebih jauh antara pelajar bandar dan luar bandar, pelajar aliran sains tulen dan sastera (Prof. Termizi)
• Bimbang BM akan pupus (Prof. Termizi)
• Akta IPTA tidak menyebut penggunaan BI di IPTA (En. Hassan)

BM & BI
• Win-win situation (Prof. Termizi)
• BM perlu dimartabatkan manakala BI perlu dikuasai (Prof. Termizi, PM Ainul, En. Hassan, En. Johari)
• Dilaksanakan secara bertahap-tahap (Prof. Termizi)
• Pelajar tetap boleh mencapai kecemerlangan di luar negara walaupun diajar dalam BM (PM Ainul)
• Perbendaharaan kata BM bagi bidang aeronautik telah dibina selama 20 tahun (PM Ainul)
• Belajar dalam BM dan berfikir dalam BI (PM Ainul)
• Bimbang BM akan pupus sekiranya menggunakan BI 100% di IPT (Prof. Termizi)
• BI perlu dikuasai, jati diri negara sendiri juga perlu dipertahankan (Prof. Termizi)
• BM terbukti berjaya dalam ilmu sains & teknologi (Prof. Termizi)
• BM digunakan bukan kerana tidak pandai BI (Prof. Termizi)
• Pelajar sukar memahami dalam BI sahaja (Prof. Termizi, En. Hassan)
• 70% pelajar UTM Tahun 1 mendapat MUET Band 1 sahaja (En. Hassan)
• Negara Scandinavian boleh dijadikan contoh untuk Malaysia (PM Ainul)
• Iceland mempertahankan bahasanya (Prof. Termizi)

Sokongan ke atas pengguanaan BI sepenuhnya
• UTM bergerak ke arah pengantarabangsaan dan pengaruh BI dalam ilmu S & T tidak dapat ditolak (PM Dr. Seth)
• Kertas kerja Impact Factor yang tinggi adalah dalam BI, maka pelajar dan pensyarah perlu menguasai BI untuk penerbitan (PM Dr. Seth)
• Bahan-bahan ilmiah terkini online dalam BI, kecuali kita dapat meningkatkan aktiviti penterjemahan dengan pantas, kita tidak dapat kejar ilmu terkini seperti mana Jepun yang mampu menghasilkan penterjemahan ilmu terkini dalam masa 2 minggu ke dalam Bahasa Jepun (PM Dr. Seth)
• Bahasa hanyalah kod, yang penting adalah ilmu. Ilmu sekarang banyak menggunakan kod dalam bentuk BI (PM Dr. Seth)
• Hanya mata pelajaran sains & teknologi dalam BI manakala yang lain kekal dalam BM (PM Dr. Seth)
• Setuju pasca ijazah diajar dalam BI (En. Hassan)
• Perlu melihat keperluan semasa (PM Dr. Baharin)


6. Pengalaman mengajar dalam BM dan BI:

Pelajar mengalami masalah pemahaman konsep dalam BI.

Prof. Madya Ainullotfi bin Abdul Latif (FKM)
Pengajaran Fizik sukar sampai kepada pelajar dalam BI
Prof. Dr. Ahmad Termizi bin Ramli (FS)
Dalam kelas Tahun 1, bagi pelajar SPI (Kursus Pendidikan Pengajian Islam), pensyarah lebih menggunakan BM; tetapi bagi pelajar SPL (Kursus Pendidikan TESL) pensyarah menggunakan BI. Guru-guru pelatih di sekolah melaksanakan PPSMI tetapi pelajar tidak faham pengajaran guru pelatih dan memaksa guru pelatih menggunakan BM.
En. Johari bin Hassan (FP)
Pelajar mengalami kesukaran belajar falsafah dalam BM tetapi lagi sukar dalam BI
En. Hassan bin Hushin (FP)

7. Isu bahan pengajaran dan pembelajaran:

Tiada bahan dalam BM kalau tidak mula mengetengahkan penggunaan BM dalam pembelajaran sains & teknologi.
En. Johari bin Hassan (FP)
Perlu cepat menterjemahkan bahan ilmiah terkini ke dalam BM.
Prof. Madya Dr. Seth bin Sulaiman (FP)

8. Isu Pengantarabangsaan:

UTM menuju pengantarabangsaan, oleh itu, BI harus menjadi medium dalam kuliah.
Prof. Madya Dr. Seth bin Sulaiman (FP)
UTM mengambil pensyarah antarabangsa
Prof. Madya Dr. Mohammad Yusof bin Arshad (FP)
Pelajar antarabangsa pun perlu berbahasa Melayu.
En. Hassan bin Hushin (FP)
Pelajar asing menggunakan kamus elektronik dalam kuliah
En. Johari bin Hassan (FP)
Pelajar antarabangsa bukan isu kerana pelajar antarabangsa kebanyakannya pasca ijazah. UTM tidak perlu ubah bahasa demi sebilangan kecil pelajar antarabangsa keran UTM perlu memberikan keutamaan kepada pelajar sendiri bukan pelajar antarabangsa khususnya di peringkat pra ijazah. Oleh itu, tidak wujud isu pensyarah perlu menggunakan BI di dalam kuliah kerana isu pengantarabangsaan.
Prof. Dr. Ahmad Termizi bin Ramli (FS)

9. Isu-isu lain:

Ada yang berpendapat bahawa isunya bukanlah bahasa yang digunakan tetapi bagaimana bahasa tersebut digunakan untuk mengajar. Isunya bukan bahasa tetapi strategi bahasa digunakan kerana guru tidak diajar kaedah mengajar menggunakan BI dan kadang kala pelajar tidak tahu guru sedang membetulkan bahasanya dan memberikan maklumat yang tidak benar kepada pelajar, contohnya perkataan ‘Okay’ sering menimbulkan salah faham.
Pn. Azian binti Abd Aziz @ Ahmad (FPPSM)

12 tahun persekolahan tidak dapat menguasai BI tetapi kursus 3-6 bulan BI ke luar negara
mampu menguasai BI. Ini menunjukkan bahawa kurikulum BI di sekolah tidak sesuai untuk membantu pelajar menguasai BI – KPM perlu meneliti isu ini.
Prof. Madya Dr. Baharin bin Abu (FP)

Cadangan:

a. Wujudkan dua sistem:

UTM boleh mewujudkan dua dasar:
1. menggunakan BM sebagai asas, pelajar antarabangsa perlu belajar BM
2. Pelajar boleh graduate apabila cukup kredit seperti di US
Prof. Madya Dr. Baharin bin Abu (FP)
b. Polisi bahasa
Akta IPTA tidak menyebut penggunaan BI di IPTA.
En. Hassan bin Hushin (FP)
IPTA tidak mempunyai polisi bahasa yang jelas. kajian akademik diperlukan sebelum dasar bahasa ditetapkan, gunakan diskusi ini untuk membuat kajian.
Prof. Madya Dr. Md. Nor bin Bakar

c. Kajian akademik & diskusi lanjutan

Analisis semua isu yang dibangkitkan dan bahan ilmiah yang ada dengan rasional dan saintifik.
Prof. Madya Ainullotfi bin Abdul Latif (FKM)
Mencadangkan siri diskusi ke setiap fakulti – Road Show untuk mendapatkan pandangan yang lebih menyeluruh melibatkan pentadbir dan pelajar dalam diskusi ini.
En. Hassan bin Hushin (FP)

No comments:

Post a Comment